Kesudian Menadahkan Kasih Perpaduan


Memang tidak disangka kerana diri saya sendiri dijemput bagi menghadiri Majlis Perasmian Laman Web dan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pekan. Hadirnya saya di Pekan pada 2hb Ogos 2009 ini kerana dijemput mendeklamasikan sajak yang berjudul “Kutemui 1 Malaysia” dan “Dari Bentangan Hitam Putih Itu”. Kedua-dua buah sajak ini membawa pengertian yang mendalam kerana digunakan untuk mengukur kecintaan saya terhadap bahasa, bangsa, pemimpin dan negara. Lebih-lebih lagi perkara ini juga menjanakan semangat baru saya kerana dapat berjumpa dengan para pemimpin di sana. Saya juga tidak menyangkakan bahawa lagu ciptaan saya yang baru, "Kutemui 1 Malaysia" juga dimainkan dalam majlis ini. Ini merupakan suatu kepuasan dan penghargaan yang tinggi.

Saya turut berasa bangga dan berbesar hati kerana dapat menghadiri majlis yang penuh gilang-gemilang ini. Saya berharap akan dijemput pada program mereka yang akan datang. Sekali lagi ingin saya petik artikel Prof. Rahman Shaari dalam “Bicara Selasa” (N16 Cetusan @ Sinar Harian 21.7.2009), sajak “Kutemui 1 Malaysia” saya dikatakan bermutu dari segi pemilihan kata (diksi), penyusunan baris dan pembinaan rangkapnya. Aspek-aspek seperti kebagusan bahasa, emosi dan semangat juga perlu dihayati ketika pengajaran atau deklamasi. Saya begitu terharu apabila Prof. Rahman Shaari juga menampakkan bahawa di dalam setiap satunya ada kecintaan yang perlu ditekankan.

Dalam pada itu, segala itu merupakan tenaga penggerak bagi diri saya yang bakal melancarkan kumpulan sajak baru saya yang berjudul “Kutemui 1 Malaysia”. Saya bakal menempuhi suatu cabaran yang berdimensi baru. Sekali lagi ingin saya mengambil ruang di sini mengucapkan terima kasih kepada saudara Tun Faisal Ismail bin Aziz dan saudara Jefree bin Wahab yang turut menyokong usaha murni saya itu. Terima kasih kepada Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pekan yang turut memberi peluang deklamasi kepada saya. Salam muhibah !

Ketika Lagu "Kutemui 1 Malaysia" dimainkan

Bersama Annie

Bersama Jefree Wahab Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pekan

Bersama Tun Faisal Ismail bin Aziz, Exco Pemuda UMNO Malaysia

Bersama perwakilan UMNO dan PPP yang mesra
4 Responses
  1. mal887 Says:

    Tahniah Teo..

    Bangga menjadi rakan anda..


  2. Teo Wei Sing Says:

    mal887,

    Terima kasih kerana turut berbangga sebagai rakyat Malaysia, banyakkan rehat lah saudara, saya tak nak kawan saya sakit dalam memperjuangkan dunia dan akhirat.


  3. Anonymous Says:

    Pengkhianatan Kaum Bangsawan - Part 1
    OLEH Hasmi bin Hashim

    Bahasa Melayu bukan bahasa kelas bangsawan. Mereka akan sentiasa mencari sesuatu yang eksklusif, bukan inklusif; mencari ciri yang istimewa untuk diri mereka, dengan meninggalkan ciri yang ramai.

    Hanya dengan itu, maka mereka kekal sebagai kelas bangsawan.

    Saya merumuskan begitu. Sebabnya? Sebab kelas bangsawan tidak akan pernah berani bersaing di gelanggang terbuka. Demikian mereka merebut segala bentuk “dasar perlindungan”, untuk melindungi diri mereka. Bukan untuk melindungi rakyat jelata. Dan rakyat, selamanya akan kepanasan.

    Kata WS Rendra dalam sebuah sajaknya yang utama, “Sajak Orang Kepanasan” yang tidak lain dihalakan kepada kelas berkenaan:

    Karena kami kucel
    Dan kamu gemerlapan
    Karena kami sumpeg
    Dan kamu mengunci pintu
    Maka kami mencurigaimu

    Apa itu yang saya maksudkan sebagai “dasar perlindungan.” Ada. Misalnya, Dasar Ekonomi Baru (DEB), adalah dasar perlindungan. Lihat sahaja bagaimana para pembesar dan anak-anak mereka, dan menantu mereka beriya-iya melalak dan mahu DEB dipertahan.

    Bukan untuk rakyat, sementara mereka tahu, keuntungan yang jauh lebih besar adalah untuk diri mereka sendiri–kalau boleh, mereka mahu meletakkan diri di atas segala undang-undang. Kalau boleh di atas Perlembagaan sekalipun.

    Bangsawan, secara fitnah dan resamnya, tidak pernah, dan tidak akan berani. Ketidakberanian mereka itu, adalah karena kebangsawanan mereka itu, mereka warisi. Bukan dari kebijaksanaan mereka sendiri.

    Sabtu sudah, saya berkesempatan berceramah dengan Sastewaran Negara, A Samad Said. Di kampung saya. Di Semerah, Johor.

    Antara yang dikupas Pak Samad adalah, saya rumuskan, seperti yang saya rumuskan di atas– Bahasa Melayu adalah bukan bahasa golongan bangsawan feudal… kaum yang memiliki kekayaan, dan kedudukan tinggi di dalam pemerintahan, adalah karena ‘mewarisi’.

    Perdana Menteri ke-6, sekarang, antara contoh jelas. Dia tidak akan melakukan kerja lain, selain sebagai orang politik, sepertimana bapanya, Tun Razak Hussein. Lihat sahaja bagaimana anak bekas PM-4, juga sedang meniti tangga politik dan mati-matian mempertahan dasar PPSMI yang diperkenal dan ‘diperturunkan’ oleh bapanya, Tun Dr Mahathir.


  4. Anonymous Says:

    Pengkhianatan Kaum Bangsawan - Part 2
    OLEH Hasmi bin Hashim

    Ketua Pemuda Umno, anak seorang bekas duta; menantu PM ke-5… juga bangsawan yang punya nafsu politik bukan kepalang.

    Kata Rendra lagi, dalam sajak yang sama:

    Karena kami dibungkam
    Dan kamu ncoros bicara
    Karena kami diancam
    Dan kamu memaksakan kekuasaan
    Maka kami bilang TIDAK kepadamu

    Apakah mereka peduli dengan “harga diri” dan maruah Bahasa Melayu? Tidak-tidak-tidak!

    Seandainya orang Melayu seluruhnya bertutur di dalam bahasa Inggeris, ‘cair’ dan lancar, percayalah, kaum bangsawan ini akan mencari jalan untuk bertutur di dalam bahasa lain, selain daripada bahasa Inggeris. Mungkin waktu itu mereka akan bertutur di dalam bahasa Perancis, atau Jepun, atau Arab… tak mustahil di dalam bahasa Jawa kalau bahasa Jawa dilihat sebagai bahasa yang boleh menunjukkan mereka adalah kelas tersendiri: kelas bangsawan.

    Saya agak terkejut apabila Pak Samad membawakan kenyataan kelas sebagai antara hujah mengapa bahasa Melayu dikhianati, bukan oleh orang asing, tetapi oleh pemimpin Melayu itu sendiri. Kenyataan ini adalah kenyataan besar, yang selain lama cuba disembunyikan.

    Bangsawan Melayu itu, tidak lain adalah bangsawan feudal. Bangsawan lapuk. Bukan satu kelompok manusia yang gigih dengan perjuangan untuk hidup. Yang akhirnya berjaya. Bangsawan Melayu itu (juga bangsawan Cina dan India, yang lahir daripada kurniaan DEB) tidak pernah ada ketrampilan cediakawan di dalam diri mereka.

    Perhatikan sahaja rumah mereka, yang barangkali berjuta, atau puluh juta ringgit, tidak ada perpustakaan walaupun sekecil tandas. Buku adalah perkara yang terakhir yang mereka fikirkan. Atau tidak fikirkan langsung.

    Yang pertama bermain di dalam kepala mereka, adalah pakaian. Sudah tentu dengan jenama yang tiada tara. Jam tangan, kasut, kereta. Kemudian baru sukan atau gaya hidup yang perlu meyakinkan diri mereka sendiri bahawa mereka adalah bangsawan.

    Rakyat bukan mereka. Mereka bukan sebahagian daripada rakyat. Rakyat bagi mereka boleh dibeli. Boleh diumpan. Boleh diikat hidungnya. Terutama dengan janji-janji pembangunan, dan wang ringgit.

    Betapa jeleknya golongan bangsawan ini, seperti yang pernah saya saksikan sendiri, bagaimana misalnya anak-anak mereka pun dilarang untuk berkahwin dengan anak orang kebanyakan. Tidak boleh! Haram! Walaupun pencapaian anak orang bawahan itu, sesungguhnya jauh lebih baik daripada apa yang dicapai oleh anak-anak golongan bangsawan.

    Kembali kepada mauduk dan persoalan bahasa, kaum elit dan bangsawan ini, tidak pernah peduli dengan bahasa Melayu… yang sekonyong-konyong mereka anggap sebagai “bahasa kampungan.” Betapa butanya mereka bahawa semua bahasa ada bahasa pasarnya sendiri, dan ada juga bahasa kelas tingginya sendiri.

    Pengkhianatan terhadap bahasa ibuanda kita, bahasa Melayu, jelas nyata dilakukan oleh elit-bangsawan ini. Dan merekalah yang harus kita sasarkan serangan.

    Sementara kita tahu besar, mereka akan mendirikan tembok dan perisai di kalangan rakyat biasa… yang belum punya kesedaran untuk membebaskan diri daripada janji manis, daripada umpan wang ringgit yang tak seberapa, dan daripada sistem feudal yang dipaksakan agar rakyat percaya dengan penuh yakin.

    Karena kami arus air kali
    Dan kamu batu tanpa hati
    Maka air akan mengikis batu.

    Penentangan terhadap kelompok kecil ini, adalah penentangan terhadap feudalisme itu sendiri. Bukankah itu antara maknanya reformasi?