Mengupas Artikel Rahman Shaari dalam “Bicara Selasa” (N16 Cetusan @ Sinar Harian 21.7.2009)


Dalam meneruskan agenda membina negara bangsa dan melonjakkan kecemerlangan pendidikan negara, isu pengajaran subjek Matematik dan Sains tidak patut dipertikaikan lagi. Apa yang lebih penting sekarang tidak lain tidak bukan memperkukuh lagi Bahasa Kebangsaan di samping tidak melemahkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan anak-anak kita. Dengan ini, barulah kita dapat mencapai win-win situation tetapi bukan parah berlawan sesama bangsa Malaysia.


BM sebagai bahasa perpaduan memang tidak boleh disangkal sama sekali. BM bukan suatu bahasa yang mudah dikuasai memandangkan pelbagai aspek nahu, tatabahasa serta seadanya yang perlu dititikberatkan, jika tidak bangsa kita kelak akan menghadapi masalah yang besar terutamanya “bahasa rojak”. Namun, BI yang merupakan bahasa antarabangsa juga perlu diterapkan kepada anak-anak kita supaya seiringan dengan persaingan dunia yang dikatakan amat mencabar. Dengan ini, sastera dalam BM dan BI sudah tentu amat berkesan digunakan sebagai alat bagi memperkukuh penguasaan dalam kedua-dua bahasa ini seterusnya mencapai perpaduan utuh.


Rahman Shaari dalam artikel menyatakan bahawa, “bahasa sastera itu berjiwa, dan akan timbul kecintaan terhadap sastera, isi karya dan bahasa pengantarnya”. Saya amat bersetuju dengan kata-kata sebegini memandangkan situasi seperti ini perlu saya lalui. Begitu juga anak-anak murid saya yang pernah mengikuti perjuangan sastera bersama saya. Sastera bukan sahaja berjiwa, tetapi merupakan elemen yang merangkumi “nyawa”. Mereka yang telah melalui proses ini bersama saya sekarang telah berubah, ada yang daripada ketakutan terhadap BM telah semakin mendekati dan mendampingi BM; ada yang jarang bercampur dengan rakan lain sekarang telah memiliki rakan berbilang bangsa; ada yang tidak pandai mengarang, sekarang boleh mencipta sajak, pantun, syair…


Ada anak Cina yang tak pandai memakai kain sampin, sekarang masih tak pandai; sebab dia tahu rakan Melayu dia akan membantu dengan tangan yang sama, dengan tangan yang mesra, dengan hala tuju yang sama. Kita 1 Malaysia.



Teo Wei Sing

12.00pm (22.7.2009)



1 Response
  1. eL Says:

    Tak pandai takpe, asalkan mahu belajar.