Syabas Pahang, Syabas Teo


Malam ini (11/4/2009) sekali lagi tiada rehat, malam ini pipit tidak bernyanyi, hening tapi tak pening. Tepat pukul 7.20pm saya sudah berada di Restoran Mexica, saya hadir sebagai deklamator jemputan. Kali ini agak berbeza selepas mengharungi debaran deklamasi di depan Perdana Menteri Ke-6 sebelum ini. Saya tidak pernah dijemput untuk mendeklamasikan sajak dalam majlis rasmi anjuran komuniti Cina, sudah tentu peluang ini tidak boleh dilepaskan. Tetamu kehormat dalam majlis malam ini ialah YB Dato’ Seri Ong Tee Keat, Presiden MCA.


Deklamasi sajak saya pada malam ini seperti biasa, tenang tapi bertenaga. Lebih-lebih lagi mendeklamasikan sajak yang dinukil khas didedikasikan kepada YAB Dato Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang berjudul “Kutemui Satu Malaysia” dan “Merdeka, Merdeka, Merdeka” nukilan Dato’ Ti Lian Ker. Dalam permulaan ucapan Dato’ Seri Ong Tee Keat, beliau memuji deklamasi sajak saya berikutan beliau tidak pernah dan jarang-jarang melihat golongan Cina berkaliber mencipta sajak dalam Bahasa Melayu dan mendeklamasikannya.


Dato’ Seri Ong Tee Keat turut menyatakan bahawa perlunya wujud perubahan dalam diri setiap individu supaya dapat mengubah masyarakat kita ke arah positif seperti deklamasi sajak malam tadi yang jelas merupakan revolusi positif dalam majlis rasmi komuniti Cina. Perubahan positif secara berhemah dan kritis adalah amat penting, tegasnya. Dalam majlis rasmi atau sambutan Parti MCA, beliau sentiasa didedahkan kepada persembahan rutin yang tidak menampakkan anjakan positif. Namun malam ini, beliau cukup terkejut dan tergamam apabila atur cara majlis dimulakan dengan deklamasi sajak lantang yang menggegarkan hati, jiwa dan sanubari beliau.


Ketika saya mendeklamasikan sajak, Dato’ Seri Ong Tee Keat memberikan perhatian sepenuhnya terhadap cara pengucapan dan seni kata (diksi) sajak saya. Kata beliau, tafsiran terhadap sajak saya dan Dato’ Ti Lian Ker boleh menjadi pelbagai atau variasi malah berdasarkan pengalaman individu yang berbeza. Penghayatan yang secukupnya harus diberikan ketika sajak dideklamasikan.


Dengan perasaan gembira, beliau melaungkan syabas kepada negeri Pahang kerana telah menunjukkan kelainan berbanding majlis MCA yang lain. Perasaan kagum beliau turut memanaskan hati saya supaya terus berjuang demi bangsa dan negara. Ketika bersembang dengan Dato’ Seri Ong Tee Keat meminta saya supaya jangan berhenti menulis dalam bidang Kesusasteraan Melayu malah perlu lebih menonjolkan dan menyerlahkan diri dalam kalangan masyarakat Cina. Beliau menegaskan bahawa karya saya juga perlu diterjemahkan ke dalam versi Bahasa Cina supaya masyarakat Cina juga akan dapat memahami suara hati saya. Terima kasih, Dato' Seri Ong Tee Keat.



5 Responses
  1. Unknown Says:

    Congratulations!

    Keep up the good work!


  2. Teo Wei Sing Says:

    Akak,

    Thanks for your totally support, I will never give up and keep work hard work smart...

    Teo


  3. eL Says:

    Saya sependapat dengan Dato' Seri Ong Tee Keat. Move ahead.



  4. Teo Wei Sing Says:

    Terima kasih atas sokongan kawan-kawan, usaha murni akan diteruskan. Sokongan tuan/puan akan terus menjadi dorongan dan pembakar semangat untuk saya berjalan lebih jauh.

    Teo Wei Sing