Belok Kiri Jika Tiada Kenderaan


Ayat sebegini memang biasa kita nampak melalui papan tanda jalan di sekitar jalan raya di Kuantan ataupun di tempat-tempat lain. Saya tidak menafikan. Tetapi dalam keadaan tenang saya beberapa hari ini, sesudah ketegangan diredakan, setelah fikiran tidak lagi runcing, saya mula banyak berfikir tentang bagaimana neraka yang akan disyurgakan. Tak perlu saya belok kiri pun walaupun tiada kenderaan, tunggu sajalah.

Jika sebelum ini karya baru saya nampaknya wujud unsur ambivalens yang ketara (ulasan S. M. Zakir), namun dalam karya saya yang terbaru, tidak lagi wujud unsur tersebut kerana saya kembali mencari ketenangan dalam hidup. Melalui pemerhatian saya sendiri, unsur-unsur paradoks yang memaparkan kompleksiti dalam sajak juga kurang kelihatan. Maka dengan itu saya menegaskan bahawa hidup dan sosial seseorang penyajak amat berkaitan dengan perasaan dan lafazannya dalam bentuk ungkapan indah. Pemilihan diksi jelas dipengaruhi oleh mood semasa dan kejadian di sekelilingnya.

Dari segi pembentukan figura juga, saya mendapati metaforikal dan ilustrasi pengalaman saya dalam karya terbaru mempunyai kelainan. Jika sebelum ini mungkin kehadiran gambaran yang pelik atau absurd akan memeningkan para pembaca, namun dalam karya terbaru jelas terbalik kerana lebih mementingkan unsur penyebaran secara am dengan penyampaian secara vertikal.

Antara abstrak dan nyata, antara ambivalens dan ambiguity, saya merasakan pewarnaan saya dalam sesebuah karya sudah semakin menonjol. Penonjolan tersebut amat dipengaruhi dengan tekanan atau stres semasa yang kerap dialami. Lebih-lebih lagi jika sifat kritis saya terhadap kebobrokan yang ada dalam masyarakat tidak dapat terhenti. Maka, dengan ini sahlah pengulangan roh puisi tradisional dalam sajak saya sebenarnya merupakan permainan pembayang serta simbolisme haiwan yang kerap diaplikasikan membuktikan saya berasa amat tidak berpuas hati, akhirnya dilepaskan melalui diksi. Tak perlu saya belok kiri pun walaupun tiada kenderaan, tunggu sajalah.



2 Responses
  1. sherry Says:

    Hi Teo.

    Apa khabar?

    Jiwa yang tenang , tingkahlaku tenang ,lembut penuh kesabaran, menerima seadanya..bertahan. Tapi,jiwa yang gelisah dan bergelora, tingkahlaku berubah , kasar dan marah,tidak sabar.

    Itulah akak..masih belajar how to control..


  2. Teo Wei Sing Says:

    Hi Kak Sherry,

    Belajar merupakan proses yang tiada penamatan. Keinginan belajar yang wujud itu adalah kesyukuran yang harus dilahirkan kerana hidup tanpa ilmu adalah sengsara, begitu juga dengan sahsiah. Saya percaya akak seorang yang solehah dan baik hati serta jujur amanah. Cuma masih seperti, masih mencari erti kesempurnaan saja.

    Teo