4 Hari Di ASWARA


Sudah 4 hari saya bermesyuarat di ASWARA, pelbagai kawan baru telah saya jumpa di sini serta banyak perkara telah saya belajar dan aplikasikan di sini. Saya ke sini untuk melihat keluasan dunia seni dan budaya supaya menjadi lebih matang pada masa akan datang bagi menghadapi cabaran yang lebih beralun nanti. Ketenangan akan menyajikan segala penyucian jiwa dan perkembangan minda yang cukup murni.


Sebelum bertolak pergi ke ASWARA, saya telah dipertemukan dengan 2 orang penting dalam negara kita. Kemudian, demam, sakit tekak, batuk dan selsema selama 2 minggu. Namun, selepas diberi peluang untuk melihat dua orang tokoh pemimpin penting negara kita, iaitu YAB Dato Seri Mohd Najib dan Dato Sri Ong Tee Keat berucap secara langsung di atas pentas, dari segi politik, saya tidak ingin mengulas tentang apa-apa. Tapi jika melihat dari perspektif karisma dan penampilan, saya cukup kagum memandangkan kepetahan bersyarah atau berucap mereka memberikan impak dan kesannya. Ketrampilan dan karisma harus dibentuk dan disebatikan dalam identity kita.


Mesyuarat di ASWARA juga menyedarkan saya tentang betapa pentingnya kerjasama pasukan dalam menyiapkan suatu tugasan yang penting demi bangsa dan negara. Di samping kepakaran yang perlu ada, mesyuarat kali ini telah mengumpulkan tenaga pakar dari seluruh negara yang seterusnya akan membawa impak besar dalam bidang yang dibincangkan.


Tidak dinafikan pada kali ini saya harus bersyukur kerana diberi peluang dan dibimbing oleh seorang ketua yang tegas. Ketegasan beliau adalah amat dikagumi kerana ketrampilan dan kewibawaan kepimpinan beliau ketika menjalankan tugas rasmi. Beliau memiliki ciri pemimpin yang efektif dan berperikemanusiaan. Ketegasan beliau dalam pelaksanaan tugas akan disebatikan dengan kemesraan tetapi bukan dengan cara bercampuraduk.


Sebelum hari bermesyuarat, saya berkesempatan minum dan sembang dengan Lim Swee Tin. Kebetulan beliau membawakan saya fotostat keratan akhbar Utusan Borneo yang tidak dapat diperoleh di Semenanjung Malaysia. Sudah tentu keratan tersebut telah memuatkan berita tentang beliau yang memberanikan diri untuk menyatakan saranan supaya persidangan dewan dimulakan dengan deklamasi sajak, bacaan pantun, gurindam, syair dan sebagainya yang berbentuk perpaduan. Kami juga membincangkan beberapa isu semasa dalam negara kita serta pengalaman Lim Swee Tin yang hampir serupa dengan apa yang sedang saya alami sekarang. Sekali lagi saya diberikan peluang mendekati penyajak tersohor negara kita.

0 Responses