Jom, Semarakkan Sastera !

Anjakan paradigma yang semakin ketara tidak mengubah sastera sebagai mata pelajaran di sekolah berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang bertujuan untuk menjana minda rohani, emosi, jasmani dan intelek serta mengukuhkan jati diri dengan menyemai benih budaya dan indentiti bangsa kepada warga Malaysia terutamanya golongan pelajar. Sastera merupakan cerminan masyarakat dan budaya serta menampakkan nilai keseniaan dan artistik yang menjunjung tinggi. Pembentukan remaja yang berakhlak mulia, berbudi bahasa dan bertatasusila secara langsung memberi impak positif kepada pembangunan negara termasuklah dalam bidang sahsiah. Dalam hal ini, selain Kementerian Pelajaran Malaysia, sekolah dan pelajar itu sendiri, ibu bapalah merupakan aset utama yang membentuk minat kesusasteraan terhadap anak-anak mereka.

Keluarga yang diterajui oleh ibu bapa merupakan permulaan segala asas pembelajaran semua insan, ini merupakan kenyataan yang tidak dapat disangkal memandangkan ibu adalah sekolah pertama anak-anak. Sudah tentu pembentukan minat sastera dalam kalangan remaja harus dimulakan dari akar umbi mereka, iaitu ibu bapa dan keluarga. Oleh itu, institusi keluarga merupakan elemen yang signifikan dalam usaha memupuk semangat membaca dalam kalangan generasi muda. Misalnya, ibu bapa harus menyediakan bahan bacaan sastera berkualiti yang menarik dan berunsur positif kepada anak-anak mereka serta menjadi contoh kepada mereka dengan mengamalkan budaya membaca dalam rutin harian.

Sementara itu, ibu bapa tidak seharusnya berada di takuk dan kepompong lama. Pemikiran jumud dan tidak terbuka mereka harus dikikis demi memberikan ruang pengembangan spatial yang luas kepada anak-anak mereka. Minat serta budaya membaca harus disemai dalam sanubari remaja. Di samping itu, ibu bapa harus menggalakkan anak-anak mereka mengambil mata pelajaran Kesusasteraan Melayu dan bukan hanya menumpukan perhatian dalam bidang informasi, sains dan teknologi sahaja. Fenomena ini seterusnya akan mendorong ke arah ketidakseimbangan kerjaya dan peluang pekerjaan dalam pasaran tempatan yang semakin berdaya saing.

Pada setiap tahun, sekolah-sekolah juga akan mengadakan program Hari Keluarga bagi mengeratkan silaturahim antara pihak sekolah dan ibu bapa. Dengan ini, ibu bapa dapat mengetahui standard dan pencapaian anak-anak mereka dalam pembelajaran di sekolah. Pihak sekolah seharusnya mengambil langkah menggalakkan para pelajar mengambil bahagian dalam bidang sastera seperti sayembara deklamasi sajak, pertandingan menulis cerpen atau novel serta pertandingan mencipta sajak. Dengan ini, pihak sekolah bukan sahaja dapat menilai kemampuan dan kebolehan para pelajar, malah dapat mencungkil bakat dan ketrampilan dalam kalangan remaja yang bakal menjadi tunjang kepada bangsa dan negara.

Memang tidak disangkal bahawa Kesusasteraan Melayu bukan sahaja dapat menambahkan ilmu pengetahuan tetapi turut membawa masyarakat Malaysia lebih mengenali sejarah dan asal-usul mereka. Ibu bapa sepatutnya memberikan nasihat kepada anak-anak mereka serta menyedarkan mereka tentang kepentingan sastera dalam era globalisasi yang penuh dengan cabaran ini. Ibu bapa juga perlu menggalakkan anak-anak mereka supaya menyertai kempen-kempen, simposium dan bengkel penulisan yang dianjurkan oleh pihak bertanggungjawab khasnya Dewan Bahasa dan Pustaka yang sentiasa aktif dan produktif dalam menggerakkan dan melahirkan warga penulis yang berkaliber.

Dalam pada itu, ibu bapa juga harus acap kali membawa anak-anak mereka mengunjungi perpustakaan awam dan kedai buku supaya memberikan peluang kepada mereka untuk mencari buku-buku yang disukai. Hal ini sedikit sebanyak dapat menyemarakkan minat dan menyemai budaya membaca dalam kalangan remaja serta mengajak mereka berjinak-jinak dalam arena sastera yang proaktif dan kreatif ini. Program pertemuan dengan penulis terkenal dan bengkel penulisan juga amat menguntungkan para pembaca remaja yang mana pelbagai ilmu dan pengalaman dapat ditimba oleh mereka dengan percuma.

Keseluruhannya, sastera merupakan satu proses pembelajaran yang berterusan dengan mengamalkan konsep belajar untuk terus belajar. Manusia yang cenderung ke arah sastera akan dapat menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman yang holistik secara langsung dan secara tidak langsung memupuk sifat-sifat terpuji dan sahsiah yang soleh dan solehah. Ini dapat dibuktikan dengan riwayat yang menyatakan “Sesungguhnya kamu tidak dapat mencukupi keperluan manusia dengan harta benda kamu saja, tapi cukupi mereka dengan wajahmu yang ramah dan akhlak mulia.” Pembentukan keperibadian yang utuh dalam kalangan remaja melalui peranan keluarga memang tidak dapat dinafikan dan seterusnya menjadi tunjang kepada kelahiran pemimpin prolifik negara. Usaha berterusan bagi menggalakkan remaja berkecimpung dalam arena sastera amat diperlukan serta harus mendapatkan sokongan daripada semua pihak dan pelajar itu sendiri juga. Malaysia hanya akan menjadi terbilang di mata dunia jika sastera dijunjung martabatnya serta seni dan budaya kepelbagaian kaum diperkembangkan ke seantero dunia. “Tuntutlah ilmu walaupun sampai ke negeri China”.

0 Responses