Dunia Belum Kiamat

Teruskan usaha, Cikgu Teo. Perjuangan belum selesai.


SETELAH bangun daripada tidur, saya dapati hari ini hari Ahad yang cukup membosankan. Di hari yang masih menunjukkan kepagian, 8.30am, lebih kurang, ketika saya masih menunggang basikal di sekitar Lembah Bukit Sekilau, ketika itu juga saya mengambil kesempatan menikmati hembusan nafas nyaman yang segar-bugar, menyusur sekitar kampung-kampung di sini. Namun, minda saya tidak pernah kosong dan akal saya tidak nampak ingin berhenti daripada berpusing-ligat memikirkan MASA DEPAN saya.

Ketika menunggang basikal yang baru saya beli, saya masih memikir-mikirkan suatu petikan ayat yang tercatat dalam buku ayah angkat saya, S. H. Alattas yang berjudul . Dalam buku itu ada memetik kata-kata daripada Imam Shafie, iaitu

“Aku yakin bahawa pandangan aku ini benar tapi ada kemungkinan juga ia salah dan aku yakin bahawa pandangan pihak lain itu salah namun ada juga kemungkinan mereka benar. ”

Dunia saya kaya dengan amalan pembacaan selepas dinasihati oleh Prof. Madya. Dr. Lim Swee Tin, Sasterawan Negara Allahyarham S. Othman Kelantan dan rakan-rakan yang lain. Selepas mendalami dunia pembacaan, saya mendapati bahawa membaca itu akan membekalkan ilmu pengetahuan yang luas kepada kita. Membaca juga akan membuka minda kita menjadi lebih luas seterusnya mematangkan kognitif setiap individu. Seorang penulis yang hebat akan menulis sesuatu yang akan menggalakkan pembacanya memikir dan terus memikir. Seseorang penulis juga sentiasa mendapatkan sumber, ilham dan inspirasi daripada pembacaan bahan bacaan dan karya penulis yang lain.

Daripada petikan ayat dalam buku-buku Abah selama ini banyak membantu dan mendorong kehidupan saya ke arah yang lebih benar dan saya memberanikan diri untuk membuat keputusan dalam kehidupan harian. Sebelum ini, kehidupan saya persis kapal yang terumbang-ambing, sentiasa mencari kapten kapal yang menghilangkan diri, manakala anak-anak kapal juga sibuk berlari untuk menyelamatkan diri. Namun, sekarang jelas menampakkan perbezaan memandangkan membaca juga sentiasa mengizinkan saya mencari ketenangan dan kemesraan. Melalui pembacaan buku Abah, secara tidak langsung mendekatkan saya dengan Abah seterusnya mengeratkan silaturahim antara saya dengan Abah.

Sebagai penulis, kita juga harus bersifat mendidik. Penulis harus bertanggungjawab atas inti penulisan yang akan dibaca oleh khalayak. Ini boleh dikatakan sebagai tanggungjawab sosial, suatu tanggungjawab besar dan berat tetapi mulia. Penulisan yang dikatakan bersifat mendidik tidak semestinya penulisan yang berkaitan dengan akademik dan pengajaran di sekolah, tetapi juga boleh merangkumi pelbagai aspek dan wacana. Semua ini terpulang kepada persepsi dan tafsiran individu. Apa yang lebih pasti sekarang perjuangan saya belum selesai dan harus diteruskan walaupun sentiasa dikekang dan diancam. Kadang-kala, saya akur terhadap dugaan sebegini. Namun, kekangan dan ancaman sebegini akan mematangkan minda saya seterusnya membawa saya terkeluar daripada kepompong untuk terus mendaki gunung yang lebih tinggi. Hidup di dunia ini bukan nak cari kebendaan saja, tetapi tolong fikirkan apa yang lebih penting nanti.

“Sekalipun menang, tetapi jika perjuangan itu perjuangan yang salah, maka ia sesuatu yang merugikan. Sebaliknya, sekalipun kalah tetapi jika perjuangan itu perjuangan yang benar, maka ia tetap beruntung dan diberi ganjaran oleh Tuhan.” Saya tetap dengan pendirian saya dan akan terus berjuang demi perpaduan antara kaum di tanah air ini. Saya percaya dengan hati yang tulus, budi yang ikhlas, saya akan berjaya. Kalau nak mengekang saya, teruskan saja. Salam Perpaduan !


3 Responses
  1. Antara sedar atau tidak, dayung sudah di tangan, akal tinggal dicerna, luahan yang disusun dalam ayat-ayat yang cantik bakal dihadam minda yang waras.


  2. Antara sedar atau tidak, dayung sudah di tangan, luahan yang diabadikan melalui penulisan yang indah-indah tinggal mahu dihadam. Dunia masih belum terlalu kejam.


  3. Teo Wei Sing Says:

    Antara sedar atau tidak juga, pengabadian yang cuba diabdikan terlalu kejam. Keindahan yang kian tidak dihadam akan dipadam. Titik-titik suci akan dihitam dan embun kepagian tidak lagi disuburkan. Jangan-jangan nanti suara lembut dan tangan kecil kami berdua pitam...