Termeterai Pelangi di Hitam Putih

Bersama Ayah Angkat Saya, S. H. Alattas

Termeterai Pelangi di Hitam Putih

SEORANG doktor yang gagal merawat seorang pesakit akan gagal terhadap seorang pesakit sahaja tetapi seorang penulis yang gagal mendidik dan memesongkan pemahaman para pembacanya, akan terus membunuh generasi demi generasi. Pencemaran budaya dan pemikiran akan berlaku dan seterusnya akan memerlukan proses “kitar semula” bagi menyelamatkan manusia yang kian rakus. Antara malaikat dan iblis.


Bukan mudah menjadi seorang penulis yang hebat, seorang penulis yang hebat perlu menguasai bahasa dengan seluas-luasnya, seorang penulis juga boleh diklasifikasikan sebagai pemain bahasa yang citra pesona. Penulisan boleh dikatakan seni budaya dan kesusasteraan. Kesusasteraan itu meskipun satu permainan seni, bukannya kerja main-main, perlu bekerja keras sepenuh kalbu bagi menyatakan dan menunaikan hasrat bangsa. Namun, kuasa yang sama juga boleh disalah eksploitasikan untuk tujuan membinasakan nusa dan bangsa. Antara malaikat dan iblis.

Bila hina sudah dikatakan hina oleh si hina yang hina, maka yang dikatakan hina oleh si hina akan menghina balik, si hina akan lebih hina daripada seekor anjing. Tidak menyangkal bahawa seseorang pengkritik tidak ada perikemanusiaan dalam perasaan, seseorang pengkritik juga tidak ada kerahiman dalam hati. Saya pernah dihina dan dipandang rendah keupayaan, itu sentiasa dan kerap kali berlaku dalam perjalanan menuju anjung ilmu dan sastera. Antara malaikat dan iblis.

Masih saya ingat lagi, ketika minum bersama Lim Swee Tin di tebing Sungai Pahang 2 bulan lepas, beliau tidak teragak-agak berkongsi pengalaman berharga dan memberikan tunjuk ajar kepada saya. Saya tidak menyesal meneruskan perjalanan ini kerana sepanjang jalan ini ditemani Lim Swee Tin, Allahyarham S. Othman Kelantan, Prof. Rahman Shaari, S.H. Alattas dan ramai lagi yang tak tersebut di sini. Sepanjang liku ini, saya hanya berkaki ayam, onak dan duri akan sentiasa dipijak saya, namun antara kamulah yang sudi menerangi dan memberitahu kepada saya di mana sepatutnya dipijak dan mana lagi yang sepatutnya dielak. Saya amat menghargai dan tak terbalas budi walaupun pilihan akhirnya dilakukan oleh saya sendiri. Termeterai Pelangi di Hitam Putih. Sebaliknya, dalam melalui onak dan duri yang sama, ramai juga yang datang menghulur pisau dan parang, mengugut di persimpangan. Antara malaikat dan iblis.

Hari ini, saya terima suatu berita baik daripada penerbit “Dendang Dunia”, saya terima dengan hati yang terbuka. Lega. Gembira. Nyata tapi kabur. Penerbit VS Media menyatakan bahawa sajak-sajak saya diterima baik dalam pasaran Kesusasteraan Melayu, kemudian telah terpilih diterapkan dalam suatu antologi oleh suatu gabungan penulis dan penerbitan. Kabur. Itu rahsia perniagaan. Namun, ribuan terima kasih atas usaha Penerbit VS Media yang memasarkan dan mengutarakan karya saya. Syabas! Bukan kepada saya, namun kepada kamu semua yang menemami perjalanan “Dendang Dunia” dan “Suara Anak Pahang” ini, suatu laman baru perslah melankolis. Terima kasih, kasih diterima. Termeterai Pelangi di Hitam Putih.



Bersama Prof. Madya. Dr. Lim Swee Tin
dalam Majlis Pelancaran Buku "Suara Anak Pahang"

3 Responses
  1. Satu hari satu ilmu, satu hari banyak pengalaman. Pengalaman itu buku kehidupan dan pengalaman di jalanan bersama hiruk pikuk manusia itu adalah ijazah yang paling baik untuk diriku lalu aku rencanakannya ke dalam memorabilia kehidupan sebagai wang saku untuk kehidupan akan datang.


  2. Teo Wei Sing Says:

    Pakcik, kami sehaluan mencari "aku". "Aku" sudah hilang bila berdepan dengan politikus pencari kenamaan yang rakus. Tapi sekali-kala, "aku" itu tonjol dalam diriku, lahiriah dan batin. Kerap juga "aku" mengajak "aku" supaya menjengukku, tapi "aku" agak penakut. Kemudian, "aku" dah malas nak berkawan dengan "aku" kerana geng "aku" besar, ada fail, ada data, ada kemasukan markah, ada black and white dll. Tapi "aku" tak pernah fikir nak mendidik bangsa, cuma nak membangsatkan saja. Faham ke, pakcik?


  3. Teo Wei Sing Says:

    Darwis berkata:

    Orang yang besar itu jiwanya besar tetapi mungkin pangkatnya belum lagi besar dan sumbangan belum lagi sebesar zarah maka dengan itu taatnya mengiyakan sahaja. Orang berbadan besar itu menurut kata orang-orang besar lalu pergilah dia menunaikan suruhan orang-orang besar laksana peon dengan taat dan patuh dan di dalam hati kecilnya berkata; "aku belum lagi menjadi orang-orang besar. Kalau aku jadi orang-orang besar nanti, aku akan jadi lebih besar kerana badanku besar" Orang besar tidak mahu otaknya kerdil apalagi jiwanya.

    Teo menjawab:

    Nampaknya, peristiwa brother dengan saya begitu sinonim. Orang besar dan orang-orang besar memang sesuai diaplikasikan dalam perjalanan selepas universiti kami. Bukan lagi sebarang spekulasi, namun hakiki yang perlu diperakui. Saya menyifatkan fenomena ini juga berlaku seperti "Naga dengan Naga-naga". Wahai, insan bertakwa, bacalah dengan mata hatimu, bukan dengan matamu. Pakcik, saiz badan saya pun semakin besar sekarang, saya rasa tak lama lagi kai berdua akan menjadi orang besar dalam kalangan orang-orang besar. Saya nak menjadi naga dalam kalangan naga-naga.