Penghargaan Tidak Terhingga

SEGALA penghargaan tak terhingga bagi mereka yang telah mempermudahkan proses dan menjayakan penghasilan buku antologi puisi “Suara Anak Pahang”. Pertama sekali, jutaan terima kasih kepada pihak penerbit, iaitu Pekan Ilmu Publications Sendirian Berhad yang sudi menjadi pelantar dan tonggak untuk saya terus bertapak dalam dunia sastera tanah air. Sesungguhnya tanpa kesudian ini, mungkin sekali sehingga kini saya masih belum dapat bertapak dalam arena sastera dan terus menjadi budak yang masih berbau pupuk jerangau. Sudah pasti nama Dato’ Maznah binti Mazlan., DSAP., DIMP., KMN., KPT., selaku Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan Negeri Pahang serta Dr. Lim Swee Tin selaku pensyarah Kesusasteraan Melayu UPM tidak dapat lari daripada membantu saya menjayakan penulisan antologi ini. Penghargaan yang setinggi langit dirakamkan kepada Dato’ Maznah binti Mazlan dan Dr. Lim Swee Tin yang juga menyumbangkan lata alu-aluan dan kata pengantar bagi antologi ini.

Sememangnya tidak lupa juga pensyarah kesayangan, Sasterawan Negara S. Othman Kelantan yang kerap kali memberi nasihat dan ilham kepada saya dalam penghasilan antologi ini. Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (JKKW) Negeri Pahang, Encik Mohd. Sukarno Abdul Wahab juga tidak mengerti penat lelah memberi dorongan dan sokongan kepada saya dalam menjayakan karya ini. Di samping itu, sajak “Bayankan Suara Perjaka Darul Makmur” hasil nukilan saudari Rahimah Muda khas didedikasikan kepada saya juga menyerikan penerbitan buku ini sekaligus menyemarakkan semangat saya dalam arena penulisan karya sastera. Begitu juga kepada pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan penerbitan antologi ini. Xie Xie ! (istilah terima kasih dalam bahasa Mandarin).

Terlibat dalam sesuatu yang penuh makna seperti menulis tentang negeri kelahiran sendiri dengan mengungkapkan lafaz indah merupakan suatu rahmat yang besar ertinya. Menjadikan penulisan karya sastera sebagai wadah atau platform untuk meluahkan perasaan cinta, puja dan asyik terhadap tanah kelahiran sendiri umpama satu perjuangan atau satu jihad yang tidak ternilai harganya. Walaupun usaha ini tidak seberapa, namun kesempatan untuk melafazkan cinta ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya. Semoga karya penulisan seperti ini akan terus tumbuh dan kekal.

Diharapkan juga agar lahirnya buku antologi ini akan memeriahkan lagi dunia sastera tanah air. Sesungguhnya yang kurang itu datangnya atas kelemahan kami, dan yang baik itu datangnya daripada Tuhan. Akhir kata, semoga usaha saya ini akan sentiasa diberkati.

0 Responses