Malam Puisi Perpaduan



6hb Julai 2008

“MALAM PUISI PERPADUAN” telah diadakan dengan rancak dan disambut hangat penduduk tempatan Temerloh sempena Program Gerak Usahawan Daerah Temerloh bawah kerjasama MARA dan Kementerian Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi. Tempat kejadian adalah di Pentas Utama Dataran Temerloh. “Malam Puisi Perpaduan” telah dianjurkan oleh Anggun Perfoming Art dengan kerjasama Pejabat Ahli Parlimen Temerloh.

Objektif utama “Malam Puisi Perpaduan” ini diadakan adalah memupuk perpaduan pelbagai kaum dan sekaligus menyemarakkan integrasi nasional. Dalam program semalam, aktivis seni dan budaya yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India telah terlibat secara langsung dalam menjayakannya. Dalam pada itu, “Malam Puisi Perpaduan” juga menyediakan suatu pentas persembahan dan pendedahan bakat baru dalam bidang deklamasi sajak dan nyanyian lagu rakyat yang disertai oleh aktivis seni dan budaya pelbagai kaum. Antara mereka yang diketengahkan adalah adik Wong Wen Xiu (Juara Manifestasi Lagu Rakyat Pahang 2008) dan adik Lilienne Hoo See Sam (Naib Juara Manifestasi Lagu Rakyat Pahang 2008) yang masing-masing telah menyampaikan lagu rakyat yang berjudul “Ikan Kekek”, “Mai Tang Yuan”- Lagu bahasa Cina, “Burung Kakak Tua” dan “Balik Kampung”. Lagu-lagu rakyat yang lain turut didendangkan oleh penyanyi lagu traditional Melayu yang memang tidak asing lagi, iaitu Roslan Madun.

Sementara itu, acara deklamasi sajak turut dimeriahkan lagi dengan persembahan deklamasi sajak oleh saudara Azmy Ahamad selaku Juara Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka Negeri Pahang 2008 kategori bumiputera 15 tahun ke atas, Fiona Gan Jia Yi selaku Juara Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka Negeri Pahang 2007 kategori bukan bumiputera 15 tahun ke atas dan Shalini Don Kahatapetiya selaku pemenang sagu hati Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka Negeri Pahang 2008 kategori bukan bumiputera 15 tahun ke atas . Selain itu, tidak ketinggalan juga saudara Nazri Sham selaku penyajak telah turut mendeklamasikan sajaknya di atas pentas.

Pada masa yang sama juga, pihak Penganjur telah mengambil kesempatan untuk memperkenalkan penulis berbangsa Cina kelahiran negeri Pahang, Teo Wei Sing kepada penduduk di sekitar Temerloh. Dengan ini, Teo Wei Sing sempat memperkenalkan buku barunya yang berjudul “Suara Anak Pahang” kepada hadirin yang memberikan respons dan sambutan agak hangat dan meriah. Saudara Teo juga mengambil peluang ini bagi mendeklamasikan sajaknya sendiri yang berjudul “Bersamamu”. Menurut Teo, sajak yang sama pernah dideklamasikannya dalam Majlis Penyerahan Derma Program “Bersamamu” TV3 pada tahun lepas di Hotel Sheraton.

Tanpa diduga, tetamu kehormat program, iaitu Timbalan Menteri Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (Ahli Parlimen Temerloh), iaitu YB Dato Saifuddin bin Abdullah turut mendeklamasikan sajak Teo yang berjudul “Simfoni Anak Pahang”. YB Dato Saifuddin bin Abdullah turut memuji sajak-sajak dalam buku Teo telah menggunakan kata-kata atau ungkapan yang indah dan beliau menggalakkan Teo supaya terus berkarya.




3 Responses
  1. Pakcik. Tahniah sekali lagi. Aku bangga punya sahabat sepertimu. Bibirku tidak pernah lekang memujimu, dan menggesa mencontohimu di hadapan anak didikku berbangsa Cina yang 'membenci' bahasa Melayu dan berkiblatkan Singapura.


  2. Faham....thx...^^ by the way my name is spelled as JOANNE with two 'n's...haha^^


  3. Teo Wei Sing Says:

    Pakcik,

    Biarkan merekalah, mereka nak membenci, biar saja, kiblat dia ikut hala mana ikut suka hati dia lah, Tuhan Tidak Akan Mengubah Nasib Satu-satu Kaum Melainkan Kaum Itu Sendiri. Mesti awak faham apa yang dinyatakan saya. Apa yang lebih penting adalah matlamat asal kita yang tidak pernah berubah, saya ingat pembelajaran dan perkongsian ilmu kami bersama. Suatu ketika nanti, bila tiba masanya, kita akan dibalasNya, dan sekarang jangan duduk saja menunggu mengeram kenamaan di atas duka anak murid. Teruskan usaha kerana perjuangan setia kami akan ditemani harum kemenyan. Salam Perpaduan! Selamat Berkarya...

    Teo Wei Sing