Kita Kehilangan Satu Lagi Nakhoda



PAGI 31 Julai 2008, bagai suatu mimpi apabila saya menerima mesej daripada rakan karib saya, Mohd Darwis yang menyatakan Sasterawan Negara, S. Othman Kelantan telah kembali ke rahmatullah. Hati saya bagaikan kurang pasti dan enggan menerima bahawa itu merupakan kenyataan dan hakikat. Selepas mengenal pasti kebenaran sumber berita, air mata saya mula berlinangan, pedihnya sebuah perpisahan dan mengungkit kembali sejuta kenangan saya bersama arwah.

Akhirnya, saya terpaksa memaksa diri mengerti bahawa Tuhan lebih menyayanginya. Pemergian Allahyarham merupakan suatu kerugian yang paling besar bagi bidang Kesusasteraan Melayu. Masih saya ingat lagi, setiap kali saya menelefon Allahyarham, Allahyarham kerap memanggil saya Cina Pahang. Galakan dan dorongan juga sentiasa dicurahkan kepada saya. Allahyarham merupakan seorang sasterawan yang hebat di Malaysia. Kata-kata yang dilafazkan kepada saya pasti membuatkan saya berfikir seribu kali kerana membawa seribu makna yang mungkin berbeza dan menggalakkan pemikiran daripada pelbagai sudut dan perspektif.

Di kemudian hari, pastinya saya akan menjadikan Allahyarham sebagai role model saya dalam meneruskan perjuangan dan kerjaya saya dengan lebih bersemangat dan kental.

Kepada Allahyarham S. Othman Kelantan,

Teo Wei Sing terhutang budi
dalam laman puisi aku sendiri
yang sentiasa mencari setia untuk terokai
yang sentiasa menemui berani untuk berdiri
dan kau, ayahanda S. Othman Kelantan
sentiasa tidak lupa di situ menemani
O Cina Pahang sekarang sudah berdiri
o Cina Pahang sekarang sudah berlari
cuma
hanya aku memaksa diri mengerti Tuhan lebih menyayangimu.
5 Responses
  1. Unknown Says:

    suatu yang menyentuh perasaan.ejh


  2. Anonymous Says:

    Pakcik, saat aku menerima berita itu, aku rasakan bahawa aku ingin turut pergi bersamanya kerana ingin sekali aku abadi di sana daripada bergelumang dengan hambatan kesibukan dan tingkah laku manusia yang memualkan.Tetapi bila aku mengingati kembali yang aku masih ada sahabat sepertimu aku gagah berdiri tetapi masih lemah untuk berdiri dalam lapangan penulisan..DARWIS J.


  3. Teo Wei Sing Says:

    Terima kasih atas comment saudara... Saat kami bersama melayari ruang ilmu yang spatial bersama ayahanda S. Othman Kelantan memang sukar dilupakan. Jadikan pengalaman itu sebagai pemangkin dalam bidang dan kehidupan secara holistik...


  4. Teo Wei Sing Says:

    Darwis J, aku menunggu detak saudara meletus dari gunung berapi, akan bidang kesusasteraan Melayu terasa gempakmu.


  5. Teo Wei Sing Says:

    Pakcik,

    Busy ke? Sampai sms pun tak balas? Tak apa lah, faham, orang tengah bersedia untuk nikah dan kahwin kan... Tahniah! Semoga jenjang pelamin kekal abadi...