Wira-wiraku Bukan Pura-puramu



Wira-wiraku Bukan Pura-puramu

INDAH kenangan apabila buat kali pertama saya mengemudi perjuangan sastera dan budaya bangsa. Di Taman Budaya Negeri Pahang, di tanah keramat bumi Pahang Darul Makmur yang aman sentosa ini, tercetusnya semangat saya membimbing beberapa orang anak muda pelbagai bangsa menyertai Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka 2008 Peringkat Negeri Pahang kian membara.

Kesyukuran harus turut dilahirkan secara langsung apabila berita baik diterima dan keputusan pertandingan yang memberangsangkan didapati. Ean Chin Teck, Wang Wee Foong dan Wong Chun Han tidak menghampakan harapan dan dorongan para penyokong sastera budaya bangsa tempatan apabila berjaya merangkul juara, tempat ketiga dan sagu hati dalam pertandingan tersebut. Sementara itu, kumpulan puisi saya “Suara Anak Pahang” juga dilancarkan dan dirasmikan oleh YB Chang Hong Seong dan Prof. Madya. Dr. Lim Swee Tin pada malam final Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka 2008 Peringkat Negeri Pahang.





Bagi saya, apa yang lebih penting adalah kejayaan wira-wira saya yang tidak mengenal penat lelah menjalani latihan deklamasi setiap hari sekali gus mendekatkan mereka dengan bahasa Malaysia dan Kesusasteraan Melayu. Di samping itu, secara tidak langsung perasaan gugup mereka apabila berada di atas pentas juga dikikis. Dari tidak tahu apa-apa sampailah berdirinya mereka di atas pentas mendeklamasikan sajak sehingga saat mereka tampil di atas pentas ditabalkan kejuaraan, itu suatu kejayaan mendidik anak bangsa ke arah menghargai dan mewarisi budaya, sastera dan seni warisan.

Begitu juga dengan pencapaian Syed Umar Satar Syed Ahmad Kilap yang dahulunya sentiasa “menyusahkan” saya, kini anak murid saya ini sentiasa menyenangkan saya, termasuklah hati saya. Anak muda yang memikul cabaran bangsa ini kian matang dan berani mengharungi pelajaran dan kegiatan luar bilik darjah. Kepada Umar, semoga awak akan mengharungi anjung ilmu dengan kekentalan mental yang tinggi. Ingat, apa yang cikgu sentiasa tegaskan, iaitu Nabi Muhammad pernah menyatakan bahawa “Tuntutlah ilmu walaupun sampai ke negeri China”.






6 Responses
  1. Anonymous Says:

    Dah tau lah semua tu, dah banyak hari masuk paper. Tapi sokong jugak kot...

    Murid Cikgu Teo


  2. Waktu rakan-rakan lain sibuk membicarakan kereta, wanita, aku ingin sekali berbicara tentang susastera.
    Alhamdulillah, aku masih ada kawan yang bersastera yang tidak jemu mendorongku terus bersastera.


  3. Teo Wei Sing Says:

    Pakcik,

    Ingat lagi mamak Harun? Ingin aku kembali ke sana bersamamu, meniti waktu berbicara tentang sini situ, mendampingi seorang rakan yang berprinsip, mendekati seorang sahabat yang masih berjuang, menjalin akhwan silaturahim kami...


  4. Anonymous Says:

    A fantastic blog. U can improve it more. Suara anak Pahang memang menggegarkan dunia. Ha! Ha! Teruskan berusaha. Pasti menjadi penyajak hebat suatu hari nanti


  5. Teo Wei Sing Says:

    Thank you so much, Shalini. Teruskan usaha, dalam usia yang muda, cabaran di depan masih panjang, saya percaya dengan tekad saudari yang berkobar di jiwa membara di nyawa, suatu hari saudari juga akan menghasilkan karya yang baik dan menjadi penyajak yang puitis.


  6. Ingatan Mamak Harun masih segar bugar! Sudah dua tahun rasanya kita tidak menjengah Mamak Harun. Ramadan ini, kenangan berbuka puasa di Mamak Harun bersamamu bebas bermain-main di benak. Maaf pakcik. Telefon bimbitku rosak.