Kerana Namamu Ibu

Sajak


Kerana Namamu Ibu

Teo Wei Sing


Kerana namamu ibu

di kala senja mengasihi rindu

ku diajar mengukir senyum manis

belaian sukma kian bersemi

itu kasih murni .


Kerana namamu ibu

ku diasuh diberi susu

darah dan daging sehari demi sehari

rerambut seinci demi seinci

itu kasih murni.


Kerana namamu ibu

dulu ku hanya mampu menangis

namun ibu memimpin tangan kecilku mendekati

mendekati mencari erti sendiri

tiada jemu penat di sisi

tiada rungut di hati

itu cinta hakiki.


Kerana namamu ibu

ku mengenal kurik kundi merah saga

ku belai budi dan bahasa

ku usap kasih dan sayang

tak lupa balasan dan jasa

ibu syurgaku

tempat lindungku.


Kerana namamu ibu

kupohon makna rindu yang suci

ku ikut denai mulia ini

bulat hati menemui bahagia di pintu abadi

jenjang kasih di mustika budi

nurani pergi mendakap pipi

bersama puisiku ini.


Suatu masa dulu

bila diimbas kembali

jasa ibu sedalam laut setinggi langit

menabur semerbak harum mewangi

bersama bunga teluki

yang akan terus tiada henti mengirimkan semurni kasih

dan sekasih murni

menemukan jasad yang bergelar anak seperti aku ini

menjodohkan pertemuan cintai diri

hamparan suci turut sama menyertai

kerana namamu ibu

ibu disayangi

tiada yang akan lupa kemuliaan ini.


Kerana namamu ibu

ibu-ibu kami

di sebuah pagi yang dikunjungi embun suci

segarnya bunga Teluki

dingin ditiup angin yang cuba aku selami

mulutku mula melafaz doa dan restu buatmu

ibu

ingatku lagi

dalam kegelapan

ibu mengajar aku menghempas dosa

ibu

ingatku lagi

dalam kegelapan

ibu mengajar aku mengenal siapa aku

ibu

ingatku lagi

dalam kegelapan

ibu mengajar aku mengasihi sendu

ibu

juga ingatku lagi

dalam kegelapan

darahku dagingmu

silaturahim sentiasa dijalin

itu ikatan kami

tidak sesekali sirna

tetap dan tetap masih kuat dalam hati dan sanubari.


Ingin aku kembali sesekali

mengenang silaturahim di sini

kami, anak-anak terhutang budi

dalam laman puisi aku sendiri

yang sentiasa mencari taat setia untuk terokai

yang sentiasa menemui berani untuk berdiri

yang sentiasa mengusap cinta untuk membelai

dan kerana namamu

ibu

yang sentiasa tidak lupa di situ menemani

o anak mama sekarang sudah berdiri

o anak mama sekarang sudah berlari

cuma

tidak kulupa

lafazan terima kasih

tulus dari hati

jujur dari sanubari.


Dulu

tidak pernah ku fikir belai tanganmu

hari ini ku mengerti

dan ku belai setiap hari

dulu

tidak pernah ku fikir pelukmu

hari ini ku mengerti

dan ku peluk lebih erat lagi

dulu

tidak pernah ku fikir usap pipimu

hari ini ku mengerti

dan ku usap berkali-kali

dulu

tidak pernah kulafaz cinta padamu

dan hari ini ku mengerti

aku cinta padamu mama

i love u mum

semoga Tuhan panjatkan kesyukuranmu

panjangkan usiamu.




Bukit Sekilau, Kuantan

(3.57pm, 4/5/2009)

3 Responses
  1. Syahira Says:

    so touching.... u did a great job.... love it... Syahira


  2. Teo Wei Sing Says:

    Thanks Syahira.

    Salam muhibah