Manja !

17 November 2008


Hari kedua dalam percutian yang nampak tidak dicutikan, muram, murung dan muhasabah. Aku tidak nampak ceria pun walaupun cuti bermula, hari keluarga bertunas, hari berehat bersemi dan… Seperti biasa, budaya membaca tidak aku lupa. Aku terus membaca, mencari ilham mencari sendu. Macam-macam buku dibelek, dilipat, ditanda dan diingati. Itu ilmu, ilmu pengarang yang tidak boleh diabaikan. Semakin hari semakin tidak kulupa dunia aku yang sekian lama tanpa warna dengan pelangi yang polos. Kepiluan yang teramat khusyuk dengan tugasan neraka yang kian diderhaka. Aku mula mengkhianati diri sesudah diriku dikhianati. Namun, kata-kata ayah angkatku tidak pernah kulupa. Tiada yang wajb selain suruhan Tuhan. Suruhan Tuhan itu perkara yang baik dan mulia. Perkara yang baik aku belajar, masuk otak dan ingat seingat-ingatnya.

Nampaknya, realiti dunia telah diterbalikkan seperti lori bas terbalik lalu terbabas di lebuh raya. Hatiku kucar jiwaku kacir. Hari ini juga aku menelefon ayah angkatku yang berada di pejabat, aku tidak tahu kenapa, mungkin hanya untuk mencari ketenangan. Suara Abah dapat menenangkan hatiku yang makin berkocak, bergema dan bergundah tanpa noktah, tiada koma. Kerakusan manusia kian memuncak. Aku sudah menjadi mangsa. Aku rimas. Semua ini dugaan Tuhan yang hendak menguji kami semua. Aku tak tahu setakat mana dan sampai bila aku ingin bertahan. Tapi, dengan suara Abah yang penyayang, aku ingin bermanja. Walaupun sudah baligh, walaupun sudah ditabal mahasiswa, walaupun sudah bergelar penulis, penyajak, walaupun sudah digoncang dengan panorama pancaroba gundah-gulana, tapi aku ingin mencari nafas manja di sisi yang tersayang dan menyayang. Hanya insan yang menyayangi akan disayangi, kekalkan silaturahim, aku rindukan saat-saat dan detik-detik ketika terjalinnya silaturahim. Aku ingin berlama di beranda yang dililit kasih sayang. Salam Muhibah!
1 Response
  1. Salam Muhibah!

    Silaturrahim adalah kunci kepada keakraban. Ayuh semarakkan api cinta dan kasih sayang sesama insan!